Skip to main content
Robot Eksoskeleton Bantu Pesakit Lumpuh
May 28, 2022 · News

UITM-ROBOT-PESAKIT-LUMPUH

DEMONSTRASI robotik ekseskeleton semasa MoU antara UiTM dan syarikat Angel Robotics Co. Ltd. di Daehan Rehabilitation Hospital Putrajaya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO

 

PUTRAJAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima dua robot eksoskeleton yang berupaya membantu, menyokong dan mempertingkat tahap fungsi pergerakan anggota badan pesakit untuk diguna pakai dalam rawatan pemulihan.

 

Eksoskeleton yang bernilai RM400,000 setiap satu itu dibawa masuk ke negara ini bagi tujuan penyelidikan pemulihan robotik dalam penjagaan kesihatan oleh syarikat Angel Robotics Co. Ltd berpangkalan di Korea Selatan.

 

Dekan Fakulti Perubatan UiTM, Prof. Madya Dr. Fazah Akhtar Hanafiah berkata, antara pesakit yang boleh menggunakan robot eksoskeleton itu terdiri daripada pesakit yang mengalami angin ahmar, masalah melibatkan urat saraf seperti kecederaan saraf tunjang, lumpuh atau sebarang penyakit yang tidak membolehkan individu berkenaan berjalan.

 

“Eksoskeleton ini digunakan untuk pesakit yang ada masalah berjalan atau pesakit terlantar di atas katil dan sudah tiada kekuatan kerana otot-otot lemah, (jadi) robot ini digunakan memberi sokongan dan melatih semula otot-otot itu bagi kuatkan kaki.

 

“Buat permulaan tak semestinya seorang pesakit yang melalui proses pemulihan itu boleh berjalan terus, jadi kita mulakan dari duduk. Sselepas duduk kemudian boleh berdiri dan seimbangkan badan barulah boleh berjalan.

 

“Jadi robot ini mempunyai fungsi kesemuanya yang disebutkan tadi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengiktirafan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UiTM dan Angel Robotics di Daehan Rehabilitation Hospital Putrajaya, Two IOI Square di sini, semalam.

 

Terdahulu, MoA penyelidikan bernilai RM770,000 itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fozi Ali bersama Ketua Pegawai Perniagaan Angel Robotics, Prof. Dr. Rha Dong-Wook.

 

Dalam pada itu, Mohd Fozi berkata, eksoskeleton itu adalah teknologi pertama yang dibawa di luar Korea Selatan ke negara ini dan menyifatkan kerjasama tu sebagai pencapaian membanggakan.

 

Kata beliau, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit yang memerlukan rawatan lanjut atau proses rehabilitasi tetapi memberi peluang terhadap proses penyelidikan dalam kalangan pakar perubatan serta pelajar terutamanya di peringkat pasca siswazah untuk menjalankan kajian dalam robotik perubatan. – UTUSAN 

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/05/robot-eksoskeleton-bantu-pesakit-lumpuh/